Saturday, 26 September 2015

Posted by hafiz ashraf On 03:02
“Hai..Qal..” comel anak ibu ni, muka serupa macam arwah nenek dia. Nanti dah besar jadi orang baik ye! Jangan lupa ibu.. Puji ibu Haiqal kepada anak sulungnya itu. Begitulah perasaan seorang ibu apabila baru mendapat cahaya mata yang pertama selepas menempuhi cabaran dan penat lelah untuk melahirkan seorang insan yang bernama Haiqal ini.

Ibunya sangat sayang kepada Haiqal dan sangat memanjakan beliau, apa yang dia mahukan, semua ibunya akan tunaikan demi kasih sayang seorang ibu untuk anaknya. Dan Haiqal lah satu-satunya peneman ibunya kerana ayahnya telah pun meninggal dunia selepas 2 tahun kelahiran beliau.

Apabila Haiqal telah meningkat dewasa, lalu ibunya menghantar Haiqal untuk belajar ke luar Negara bagi menjadi seorang arkitek yang berjaya. Tetapi semenjak haiqal berada di luar Negara , ibunya selalu berasa kesepian dan keseorangan kerana tiada teman bicara di dalam rumahnya, dan hanya mengharapkan kawan-kawan ibunya sahaja yang datang untuk berbual dengan ibunya. Tambahan pula, Haiqal sudah lama tidak pulang ke rumah kerana sibuk dengan kerjanya di luar Negara itu. Maklumlah sudah menjadi arikitek yang berjaya.

Apabila ibunya telefon, seringkali ia menjawab, “sibuk, tengah meeting ni, nanti Haiqal telefon balik ya”  begitulah setiap kali jawapan yang diberi, ada juga ibunya meminta untuk haiqal pulang ke rumah, tetapi haiqal hanya dapat pulang 2 tahun sekali sahaja..

Selang beberapa bulan diberitakan bahawa ibunya meninggal kerana menghadapi penyakit darah tinggi... Sebelum  dikebumikan, sedara-mara beliau pun datang untuk memandikan dan mengkafankan jenazah ibu beliau, tambahan pula haiqal dapat pulang ke rumahnya untuk melihat jenazah ibunya buat kali terakhir sebelum dikebumikan.... 

Iskandar : Ramai orang datang pada malam ni , tapi aku  tak nampak pun mana haiqal .. mayat ibu dia tengah dimandikan dan lepas ini akan dikafankan .. bukankah lebih eloknya keluarganya sendiri yang melakukan kerja-kerja ini .(Iskandar berdialog di dalam hati) ... Iskandar mmerupakan kawan karib haiqal semasa berada di sekolah menengah..

Lalu Iskandar pun berjalan  ke tempat orang yang sedang menguruskan jenazah ibu haiqal itu .. lalu dia bertanya..

Iskandar : Assalamualaikum mak cik , boleh saya tanya , mak cik ni ada hubungan dengan haiqal ke?

Mak cik : waalaikumussalam , sebenarnya mak cik ni orang dekat-dekat sini ja . erm, haiqal ada di dalam rumahnya, dia dengan adik beradiknya.

Haiqal : oh yeke .. kenapa keluarga Haiqal tidak menguruskan sendiri jenazah ni ?

Mak cik : keluarga Haiqal dah pun mengupah penduduk-penduduk di  sini untuk menguruskan jenazah ini , termasuk dengan solat jenazah dan perkebumian di kubur nanti .

Terkejut iskandar apabila mendengar jawapan itu keluar dari mulut mak cik tersebut..

Iskandar : Masya Allah, beginilah kalau orang ada duit, semua benda nak upah , sampai pengurusan jenazah ibu sendiri pun nak suruh orang uruskan ( berkata di dalam hatinya)... ermm takpa la mak cik, saya nak jumpa haiqal dulu.

Apabila tiba di rumah Haiqal... Iskandar tergamam melihat Haiqal dan kedua adik beradiknya sedang sibuk bermain handphone tanpa ada perasaan sedih dengan kematian ibunya sendiri ..

Iskandar : Assalamualakum Haiqal , apa khabar ? lama dah tak jumpa kau? Bila balik .?

Haiqal : Waalaikumussalam , oh Iskandar , sihat je, aku baru je balik sini semalam, biasa la busy sikit, ni pun aku balik sebab ada kematian ibu aku, sekarang ni pun diorang tengah uruskan jenazah ibu aku .. lepas diorang mandikan ibu aku ni ,aku terus  gerak ke luar negara .. (sambil melayan handphone nya )

Haiqal : oh yeke cepatnya nak balik.. amboi takkan takde masa nak uruskan jenazah ibu kau ni , sekurang-kurangnya dengan masa yang ada ni, kau pergi tolong-tolong la apa yang patut, mandikan jenazah ke, layan sedara mara atau orang-orang kat sini ke.. aku tengok mak cik-makcik kat sini , semua sibuk menguruskan jenazah ibu kau .. sedangkan, kau sibuk dengan handphone.. sudah lah tu, handphone tu boleh main kejap lagi kan.. 

Haiqal : alaa .. kau ni Iskandar, biarlah orang-orang kat sini uruskan , diaorang kan dah mahir dalam bab-bab ni.. lagipun aku dah bayar kat mak cik-makcik ni untuk uruskan jenazah ibu aku .. jangan risau lah, sekarang ni dah mudah, bayar duit , kerja jalan... lagipun aku mana tahu nak uruskan bab-bab jenazah ni..

Iskandar : Jangan risau kau kata .. kan sebaiknya ahli keluarga atau anak sendiri yang uruskan , ni kan ibu kau yang melahirkan kau dan jaga kau sejak dari kecil ..dulu kata sayang ibu lah, nak bawak ibu ke umrah lah, mana pergi janji-janji tu haiqal? ini la masa yang terbaik untuk kau buktikan bahawa kau anak yang baik... aku tengok dalam bidang akademik kau dah hebat, tapi kau kena juga tahu asas dalam agama Islam ni Haiqal.. supaya kita seimbang antara dunia dan juga akhirat...

Haiqal : alahai, kau nak ceramah pulak, Iskandar,  aku dah upah untuk orang -orang kat sini uruskan , kira baik la tu , daripada aku biarkan macam tu . lagi teruk kan .. dah la Haiqal , kalau kau nak tolong diorang , pegi la .. aku tengah sibuk ni ..

Iskandar : ermm kau kena ingat Haiqal , sewaktu kau meninggal nanti, kalau anak-anak kau buat macam ni , baru kau akan rasa .. ibu kau sekarang ni sangat-sangat memerlukan anak-anaknya untuk menghadiahkan bacaan Al-Quran dan doa supaya ibunya ditempatkan ke dalam syurga bersama orang-orang yang soleh .. 

lalu Iskandar pun berdoa kepada Allah ( Ya Allah , yang Maha mengampun lagi Maha mengasihani , ampunkan dosa-dosa kami sekiranya kami lalai dalam membalas jasa baik ibu kami di hari kehidupan dan saat kematiaannya , dan engkau berilah hidayah kepada kawanku Haiqal agar dia sedar akan perbuatannya ).  

                                                                                                         ......
Begitulah khidmat terakhir yang amat diharapkan oleh setiap insan yang bergelar ibu bapa. Di saat getir menghadapi saat kematian, maka mereka mengharapkan ada doa-doa yang ikhlas supaya dapat mendoakan keampunan buat mereka sebelum masuk ke liang lahad, yang mana lebih hebat dan mencabar daripada alam dunia ini

Namun, adakah kita sebagai anak sudah bersedia untuk menunaikan perkara tersebut dengan sebaiknya. Sedangkan suasana hari ini kita lebih gemar menolaknya supaya orang lain seperti imam masjid dan orang lain yang tidak ada pertalian dengan kita mengimamkan solat jenazah ibu bapa kita, buat hanya sekadar menuntut tuntutan fardu kifayah. Adakah kita seperti itu?

Pada waktu itu, terdetik di dalam hati saya(penulis); bagai mana jika ia berlaku kepada ibu atau bapa saya sendiri. Saya menyedari, betapa lemah dan tidak sanggupnya saya untuk menyaksikan, jenazah ibu atau bapa saya sendiri diturunkan ke liang lahat, sebagaimana yang saya saksikan pada waktu itu.

“Amat malang sekiranya anak sendiri tidak dapat menguruskan jenazah ibunya sendiri dan lebih malang lagi sekiranya anak lelakinya tidak dapat mengimamkan solat jenazah untuk ibunya sendiri”

Dari abu hurairah melaporkan, Rasulullah menerangkan, “ Hinanya orang ini, Hinanya orang ini, Hinanya orang ini, Iaitu orang yang sempat menemui ibu bapanya ketika kedua-duanya sudah tua. Sama ada dia menemui seorang ataupun kedua-duanya. Tetapi orang itu tetap tidak dapat masuk syurga, kerana dia tidak berbakti kepada orang tuanya” ( Hadis ini Direkodkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Riyadhus Solihin dalam Bab 40 Menghormati Orang Tua – Karangan Imam An Nawawi).


Sunday, 26 July 2015

Posted by hafiz ashraf On 01:31
Hisyam merupakan seorang pekerja syarikat iaitu “Salesman” kereta yang terbesar di kawasan Kuala Lumpur, dan beliau merupakan pekerja yang rajin dan sangat disayangai oleh majikannya. Tambahan pula, beliau memiliki muka yang kacak dan sangat bergaya, sesuailah peribadinya dengan pekerjaannya itu....

Sedang beliau termenung, tiba-tiba menyapa majikannya itu ..

Bos : Hai Hisyam, termenung nampak, fikir tentang apa tu? Ke fikir nak kawin ni... Nampaknya , tak lama lagi lah kita makan nasi minyak ni...

Hisyam : Eh, sampai ke situ pula bos ni.. saya termenung memikirkan masa depan saya dengan kekayaan yang akan saya dapat nanti...

Bos : wah, besar cita-cita tu.. oh baru saya teringat, pagi tadi, ada mesyuarat tentang projek terbesar kita bulan ni, yang melibatkan lebih ramai ahli korporat dan ahli perniagaan seluruh negara, jadi mereka tertarik dengan syarikat kita, jadi mereka ingin kita mempromosikan kereta-kereta yang ada di syarikat kita ini pada mesyuarat akan datang.

Hisyam : Hebat tu bos, pasti syarikat kita akan lebih terkenal dan maju apabila kereta-kereta ini dapat dijual kepada mereka. Bila mesyuarat tu bos? di mana?

Bos : Dua hari akan datang di Pulau Langkawi, dan tidak lain tidak bukan, pastinya saya akan memilih awak untuk mempromosikan kereta-kereta kita. Memandangkan awak pun memang pandai bercakap, bergaya pula, dan mempunyai pengalaman yang luas berkaitan dengan perniagaan kita. Bukan apa, supaya mudah nanti kalau mereka bertanya pelbagai soalan tentang syarikat dan perniagaan kita ini, awak boleh selesaikan, betul tak? Saya mengharapkan awak akan hadir dan membuat persembahan yang terbaik nanti.

Hisyam : Baik bos, bos sememangnya telah memilih orang yang betul untuk mempromosikan perniagaan syarikat ini, saya pasti akan datang, dengan kata-kata yang akan membuat hati ahli-ahli perniagaan tu lebih tertarik dengan syarikat kita, bos jangan risau.

Sehari sebelum perginya Hisyam ke Pulau Langkawi, Beliau telah diuji dengan penyakit demam yang menyebabkan ia terbaring sepanjang hari di kantil rumahnya. Tidak disangka-sangka perkara ini berlaku sebelum beliau pergi menjalankan tugasnya ke Pulau Langkawi itu. Lalu beliau berkata di dalam hatinya, “sekejap je demam ni, makan panadol sikit, eloklah ni”.. 

Tapi apakan daya penyakit ini tidak sembuh sebagaimana yang disangka oleh Hisyam...
Hisyam mengeluh dan merungut dengan datangnya penyakit demam ini, lebih malang lagi, penyakit ini datang pada waktu-waktu yang sangat berharga iaitu pada perwakilan beliau ke Pulau langkawi itu. “Kenapalah tiba-tiba nak kena demam pada aku ni, kenalah nanti-nanti ke? Aku dah lah ada tugasan penting esok... arghhh .... (Katanya di dalam hati)...

Lalu Hisyam pun pergi berjumpa dengan doktor yang pernah beliau pergi dahulu ..

Selepas doktor itu merawat, lalu ia berkata “ Sepatutnya demam ini dah boleh baik, tetapi agak pelik juga kenapa ia masih tidak sembuh.. lalu hisyam menjawab, “Apa ni doktor, takkan penyakit macam ni pun doctor tak boleh nak merawat, saya dah makan ubat yang doctor suruh tu, tapi tak sembuh pun.... dah berapa lama jadi doktor ni, kalau tak boleh sembuh, jangan jadi doktor la... lalu Hisyam terus balik ke rumahnya...

Akhirnya beliau tidak dapat pergi ke Pulau Langkawi, tambahan pula, penyakit beliau ini telah menyebabkan ia terpaksa berehat di rumah dan berita tentang penyakit demamnya ini juga telah sampai ke pengetahuan kawan-kawan sepejabatnya...

Muiz : Razak , dengar cerita, Hisyam kena demam minggu lepas, demam panas katanya. Aku ingat nak pergi melawat dia? Nak ikut ?

Razak : oh ya ke? Patut lah, aku tak nampak dia datang pejabat minggu ni. Boleh juga, kan meziarahi saudara kita yang ditimpa sakit ni, besar pahalanya, kurang-kurang dapat memberi semangat kepada dia. Kan?

Muiz : betul tu Razak, kalau begitu, esok kan cuti, kita pergi ziarah dia .. boleh?
Razak : Insha Allah, boleh....

Pada keesokkan harinya , Muiz dan Razak pergi melawat sahabatnya Hisyam seperti mana yang dirancang, dengan membawa sedikit buah tangan...

Razak : Assalamualaikum ... 
Ibu Hisyam : Waalaikumussalam ,
Muiz : Hisyam ada kat dalam ke Mak cik? Kami kawan Sepejabat dia, nama saya Muiz dan ini kawan saya, namanya Razak.

Ibu Hisyam : Oh Razak dengan Muiz, masuk lah, Hisyam ada di dalam tu, sedang terbaring..

Muiz : Assalamualaikum hisyam, sihat? Bagaimana dengan keadaan kau sekarang ni. Dah makin sembuh ke?

Hisyam : Waalaikumussalam.. beginilah , terbaring je aku kat rumah ni, tak boleh nak buat apa... 

Razak : kau ada pegi jumpa doktor tak ?

Hisyam : Mestilah ada, kau tahu tak , aku kena demam ni dah hampir 2 minggu, sengsara aku dibuatnya. Semua klinik aku dah pegi, ubat pun aku dah makan, pantang larang pun aku dah jaga , aku tak faham la .. setiap hari aku merungut pasal demam ni .. entah apa lah yang tak kena, kenapalah nak jadi waktu muda-muda ni, jadilah waktu tua nanti, sekarang ni waktu untuk kita orang muda bekerja .. Kenapa aku diuji seberat begini? ” apakah Tuhan masih sayangkan aku?

Tergamam Muiz dan Razak melihat keadaan sahabatnya yang merungut dengan ujian allah kepadanya dan seolah-olah menyalahi Tuhan yang menurukan Penyakit demam ini, lalu Muiz berkata. “ Hisyam, Ubat dan rawatan dari Klinik ini adalah usaha dan ikhtiar kita sebagai hamba Allah untuk mengubati penyakit kita, Tetapi kuasa Allah yang menyembutkan penyakit ini, sikap kita yang terlalu mengharapkan ubat-ubatan dan doktor ini boleh mengakibatkan keyakinan kita kepada Allah semakin pupus.. 

Percayalah, kalau kita mengarapkan mahluk untuk menyembuh, pasti kita akan kecewa, tetapi kalau kita mengharapkan Allah, sembuh ataupun tidak, pasti kita akan gembira, kerana Musibah yang datang itu pasti akan diiringi dengan seribu hikmah. Tidak salah untuk memakan ubat dan mendapat perkhidmatan doktor sebagai usaha, tetapi kena yakin sepenuhnya bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah s.w.t. dan Dia juga yang akan memulihkannya

Razak : betul tu , usaha dan ikhtiar kita dah lakukan , berdoa jangan lupa dan yang paling penting tawakal dan redha dengan ketentuan Allah di dalam hati tu. Insha Allah, kau akan sembuh nanti ..Antara hikmahnya, Allah nak membersihkan dosa-dosa kita yang lalu, dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Mungkin selama ini kita terlalu ego, dan tidak mengindahkan ibadah-ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepadanya, seperti solat, membaca Al Quran dan berdoa.

Hisyam pun tergamam dengan nasihat sahabatnya itu , terfikir beliau dengan kehidupan selama ini yang kurang beribadah dan berdoa kepada Allah, dengan alasan sibuk bekerja pagi dan malam.mengalir air matanya mendengar nasihat daripada sahabat-sahabatnya....
Hisyam : Terima kasih sahabatku, kerana telah menyedarkan aku tentang musibah yang aku hadapi ini adalah ujian Allah kepada diriku ini...

Semenjak dari itu, Hisyam tidak lagi merungut dengan kesakitannya itu dan lebih kepada berdoa dan muhasabah diri kenapa dia diuji sebegini, dan apabila berlalunya seminggu selepas itu , demam hisyam pun beransur sembuh, barulah beliau tahu hikmah di sebalik ujian ini lalu ia berdoa....

"Ya Allah, Engkaulah mengajar aku untuk rendah diri dan bersyukur dengan nikmat kesihatan tubuh badan, Kalau engkau hendak sembuhkan penyakitku dalam masa satu hari, maka amat mudah bagi dikau, tetapi Engkau mengajar hambamu tentang sifat tawakal,sabar mengharungi ujian kesakitan ini, dan Engkau hadirkan sahabat yang soleh yang sentiasa memberi nasihat untu menyedarkan diriku ini, dan Engkau juga mengajar aku erti kesyukuran dengan nikmat yang diberi.. Ya Allah tetapkanlah Hambamu ini dalam keadaan mengingatimu".. Amin...
......
“Namun dalam tidak sedar, ujian penyakit yang kita hadapi itu adalah guru yang mengajar dan mendidik kita agar kita menjadi manusia yang lebih baik. Jangan sesekali kita berburuk sangka kepada Allah SWT di atas musibah yang menimpa”. 

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Surah Al Baqarah : 155)

Tuesday, 14 July 2015

Posted by hafiz ashraf On 04:21
Terdengar bunyi membaca Al Quran “Alif Lam mim”(hingga akhir surah Ar Ra'du), Alhamdulillah merdunya bacaan sahabat ini, maka terdengar pula ada yang membaca Al-Quran dalam keadaan seperti ini, “al ma ri”, eh salah tu pakcik, bacanya begini “Alim Lam Mim Ro”, oh begitu ke nak? terima kasih, baru pakcik tahu... Begitulah suasana majlis tadarus Al-Quran pada Malam Ramadhan di surau itu....

Pak cik Yusuf hanya melihat dan mendengar sahaja masyarakat di situ membaca Al-Quran, terdetik di hatinya untuk membaca, tetapi apakan daya, lidahnya masih tidak lancar untuk membaca Al-Quran. Termenung beliau memikirkan perkara itu, Apakah yang menghalang aku untuk belajar Al-Quran dengan mereka, adakah kerana sikap maluku ini? atau adakah kerana aku sudah tua?.. begitulah pertanyaan demi pertanyaan yang bermain di fikiran beliau.

Pada keesokan harinya, Pak cik Yusuf pun tekadkan diri untuk terus pergi belajar mengaji dengan bertadarus pada malam ramadhan itu... Pada mulanya beliau merasa malu dan lemah semangat apabila setiap kali membaca, ramai yang menegur bacaannya. Terlintas juga di dalam hatinya (lebih baik aku duduk di rumah, daripada aku baca di sini, banyak salahnya) tetapi, beliau tidak menghiraukan lintasan-lintasan hatinya itu... Begitulah juga pada malam-malam seterusnya..

Akhirnya, tamatlah sebulan beliau bertadarus pada malam-malam ramadhan itu sehingga menjelang syawal. Terdetik di dalam hatinya (di manakah lagi tempat untuk aku bertadarus dan tempat belajar mengaji Al Quran ini, takkan aku nak berhenti di sana sahaja dan menunggu ramadhan akan datang, baru nak mengaji semula).

Ketika Pak cik yusuf membaca Al Quran, muncul seorang pemuda , yang kelihatan mukanya baik dan manis orangnya.. lalu ia menyapa pak cik yusuf dan memperkenalkan namanya.

Yus : Assalamualaikum Pak cik, Sihat? Nama saya Yus, seronok melihat pak cik membaca Al Quran.

Pak Yusuf : Waalaikumussalam, Alhamdulillah sihat.. oh Yus.. Alhamdulillah, Allah telah beri keringanan kepada pak cik untuk terus mengaji, tetapi bacaan pak cik masih kurang pada sebutan dan hukum tajwidnya.

Yus : Oh, perlahan-perlahan belajar pak cik... erm, baru saya teringat, di surau kami ada mengadakan kelas Al quran pada setiap hari rabu pukul 9.30 malam, di situ kita akan diajar menyebut huruf Al quran dengan sebutan yang betul dan diajar juga mengenai hukum tajwid.

Pak Yusuf : (dengan muka yang gembira) , oh betulkah ? Alhamdulillah , ini satu peluang yang sangat baik, memang pak cik sedang mencari guru yang boleh mengajar saya membaca Al Quran.. Insha Allah, pak cik akan cuba datang kelas tu, terima kasih ya anak muda.. 

Dalam kelas bacaan Al Quran....

Lalu melangkah lah kaki Pak cik Yusuf menuntut ilmu Al Quran di kelas yang diceritakan oleh saudara yus tempoh hari. Di situ beliau bertemu dengan seorang guru yang mahir dalam bacaan Al Quran dan peribadinya amat peramah serta mesra dengan masyarakat di situ.. beliau bernama Ustaz Jamal.

Dan apabila bermulanya pengajian di situ, maka Pak cik Yusuf diminta untuk membacakan Surah Ad dhuha, lalu beliau membaca dengan penuh semangat...

Ustaz Jamal : Alhamdulillah, baik juga bacaan haji , tapi ada juga kesalahan-kesalahan yang perlu dibetulkan, jadi haji kena selalu datang ke kelas ini dan terus belajar, Insha Allah, saya akan berkongsi ilmu Al Quran ini dengan haji...

Pak cik Yusuf : Insha Allah Ustaz , kita yang berumur ini susah juga untuk belajar baca al quran, “enjin slow” orang kata .

Ustaz Jamal : tidak mengapa , jangan jadikan umur yang tua ni sebagai alasan untuk kita tidak mempelajari Al Quran, dan Alhamdulillah Allah telah memberi minat kepada haji dan Allah telah memberi keringanan pada haji untuk terus belajar. Banyakkan bersyukur dengan berdoa kepada Allah ya. Dan satu perkara lagi, saya mencadangkan haji kena ada satu mushaf Al Quran yang berwarna iaitu yang ada menerangkan hukum tajwid di dalamnya, bagi memudahkan haji untuk belajar. Ada tidak Al Quran ini di rumah haji?

Pak yusuf : Di rumah, cuma ada Al Quran yang biasa , yang jenis berwarna ni memang tak ada lagi.

Ustaz Jamal : kalau begitu , boleh belikan satu Al Quran yang berwarna. boleh kan? beginilah, Pak cik ada “Handphone”?

Pak Cik Yusuf : Ada , tapi tertinggal di rumah .

Ustaz Jamal : kalau “handphone” yang beratus-ratus itu pun, haji boleh beli , takkan lah sebuah mushaf Al Quran yang suci, yang menjadi panduan kehidupan bagi manusia ini, menjadi kesukaran untuk kita beli , bagaimana kalau nanti malaikat bertanya pada kita, apakah jawapan kita? Saya cadangkan haji minta anak-anak haji belikan sebuah Al Quran, biar anak-anak itu berkongsi duit untuk belikan sebuah Al Quran, khas untuk haji, boleh?

Pak cik Yusuf : (dalam keadaan yang sedih) Insha Allah, betul tu...  kalau begitu, saya akan beli mushaf Al Quran berwarna selepas ini......


Termenung beliau di luar halaman rumah, memikirkan tentang cadangan Ustaz Jamal untuk membeli Al Quran, sedangkan beliau tidak tahu hendak beli di mana mushaf Al Quran berwarna itu..

Dalam termenungnya itu, Tiba-tiba menyapa seorang anak bongsunya yang kecik itu dan bertanya “ kenapa termenung tu ayah? Ada masalah ke ? kalau ada, boleh saya tolong.. tak baik tau, rahsia-rahsia ni..

Tersenyum ayahnya melihat gelagat anaknya lalu berkata “ Sebenarnya ayah teringin nak sebuah Al Quran berwarna supaya mudah membaca bagi orang tua dan orang yang baru belajar seperti ayah ini. Tapi ayah tidak tahu nak beli di mana. Lalu anak bongsunya berkata “oh, tidak mengapa ayah, esok pagi juga kita akan pergi beli mushaf Al Quran berwarna itu. saya akan bawa ke kedai buku".


Lalu pada keesokan paginya, pergilah ayah dan anak bongsunya itu ke kedai buku untuk membeli sebuah Mushaf Al Quran berwarna itu. Apabila tibanya mereka di sana, lalu ayahnya pun terus mencari ..

Pak Yusuf : Masya Allah, banyaknya Al Quran di sini, bermacam-macam jenis ada, (dalam mencari itu).. eh inilah yang abah cari tu, dah jumpa pun, abah!! saya dah jumpa Al Quran tu, (gembira tidak terkata melihat muka pak cik yusuf apabila Al Quran yang dingininya berada di hadapannya).

Anak bongsu : oh yang ini ke, ayah? Memang cantik!, Biar saya yang belikan (lalu dia mengambil Al Quran itu dan terus membayar kepada Juruwang yang berada situ.

Juruwang : Alhamdulillah! hari ini adik sangat beruntung, kerana hari ini kami ada mengadakan promosi iaitu membeli satu mushaf Al Quran berwarna , akan mendapat satu buku tajwid... semperna kempen membaca Al Quran.

Anak bongsu : oh macam tu ke? Terima kasih ya , (lalu ia mengalihkan padangan ke arah abahnya, lalu ia berkata di dalam hati) "Masya Allah, luas rezeki abahku ini". 

Lalu Al Quran itupun dihadiahkan kepada abahnya.

Semenjak itu Pak cik Yusuf mengaji bersungguh-sungguh dengan menggunakan Al Quran berwarna itu dan buku tajwid, dan lama-kelamaan Pak cik Yusuf semakin mahir membaca Al Quran dan kini apabila beliau berada di rumah, beliau sering membaca Al Quran bersama anak-anaknya.

Indahnya pengorbanan seorang pak cik yang ingin belajar membaca Al Quran walaupun umurnya telah meningkat dan akhirnya berjaya diatas dorongan Ustaz Jamal dan pengorbanan anak beliau untuk menghadiahkan sebuah Al-quran.

Lalu anak bongsunya bertanya, Apakah yang membuat abah begitu berminat untuk belajar Al Quran ini?

Ayahnya berkata, “Al Quran inilah peneman ayah ketika senang dan duka, apabila ayah mengalunkan bacaan Al Quran ini, hati ayah akan menjadi tenang, begini lah, kalaulah kita sanggup menghabiskan masa untuk membaca facebook,what app, buku-buku dan surat khabar, sedangkan itu adalah kalam makhluk, tetapi ini kalam Allah iaitu Al Quran, kita abaikan... amat malangnya kita sebagai hamba Allah tapi tidak pandai membaca Al Quran... “Dengarlah wahai anakku, umur dan tidak pandai membaca bukanlah penghalang untuk kita menuntut ilmu Al Quran”.

“Selagi nyawa Masih ada, teruskan lah kita membaca Al Quran, Jangan sehingga nyawa kita diambil oleh Allah, barulah Al Quran itu dibacakan kepada kita”

“Sesungguhnya Al-Quran peneman kita dikala sedih, gembira di dunia dan cahaya di alam kubur kelak”

Saidatina Aisyah r.a  melaporkan, Rasulullah s.a.w mengatakan, “Orang yang mahir membaca Al Quran akan bersama-sama dengan golongan manusia yang mulia dan baik. Manakala orang yang membaca Al Quran, tetapi dia merangkak-rangkak (ketika membaca dan dia berasa sukar membacanya), maka dia memperolehi dua ganjaran.” (Direkodkan oleh Imam Bukhari dan Abu Al-Husain Muslim bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi dalam kedua-dua kitab Shahih mereka.)