Tuesday, 14 July 2015

Posted by hafiz ashraf On 04:21
Terdengar bunyi membaca Al Quran “Alif Lam mim”(hingga akhir surah Ar Ra'du), Alhamdulillah merdunya bacaan sahabat ini, maka terdengar pula ada yang membaca Al-Quran dalam keadaan seperti ini, “al ma ri”, eh salah tu pakcik, bacanya begini “Alim Lam Mim Ro”, oh begitu ke nak? terima kasih, baru pakcik tahu... Begitulah suasana majlis tadarus Al-Quran pada Malam Ramadhan di surau itu....

Pak cik Yusuf hanya melihat dan mendengar sahaja masyarakat di situ membaca Al-Quran, terdetik di hatinya untuk membaca, tetapi apakan daya, lidahnya masih tidak lancar untuk membaca Al-Quran. Termenung beliau memikirkan perkara itu, Apakah yang menghalang aku untuk belajar Al-Quran dengan mereka, adakah kerana sikap maluku ini? atau adakah kerana aku sudah tua?.. begitulah pertanyaan demi pertanyaan yang bermain di fikiran beliau.

Pada keesokan harinya, Pak cik Yusuf pun tekadkan diri untuk terus pergi belajar mengaji dengan bertadarus pada malam ramadhan itu... Pada mulanya beliau merasa malu dan lemah semangat apabila setiap kali membaca, ramai yang menegur bacaannya. Terlintas juga di dalam hatinya (lebih baik aku duduk di rumah, daripada aku baca di sini, banyak salahnya) tetapi, beliau tidak menghiraukan lintasan-lintasan hatinya itu... Begitulah juga pada malam-malam seterusnya..

Akhirnya, tamatlah sebulan beliau bertadarus pada malam-malam ramadhan itu sehingga menjelang syawal. Terdetik di dalam hatinya (di manakah lagi tempat untuk aku bertadarus dan tempat belajar mengaji Al Quran ini, takkan aku nak berhenti di sana sahaja dan menunggu ramadhan akan datang, baru nak mengaji semula).

Ketika Pak cik yusuf membaca Al Quran, muncul seorang pemuda , yang kelihatan mukanya baik dan manis orangnya.. lalu ia menyapa pak cik yusuf dan memperkenalkan namanya.

Yus : Assalamualaikum Pak cik, Sihat? Nama saya Yus, seronok melihat pak cik membaca Al Quran.

Pak Yusuf : Waalaikumussalam, Alhamdulillah sihat.. oh Yus.. Alhamdulillah, Allah telah beri keringanan kepada pak cik untuk terus mengaji, tetapi bacaan pak cik masih kurang pada sebutan dan hukum tajwidnya.

Yus : Oh, perlahan-perlahan belajar pak cik... erm, baru saya teringat, di surau kami ada mengadakan kelas Al quran pada setiap hari rabu pukul 9.30 malam, di situ kita akan diajar menyebut huruf Al quran dengan sebutan yang betul dan diajar juga mengenai hukum tajwid.

Pak Yusuf : (dengan muka yang gembira) , oh betulkah ? Alhamdulillah , ini satu peluang yang sangat baik, memang pak cik sedang mencari guru yang boleh mengajar saya membaca Al Quran.. Insha Allah, pak cik akan cuba datang kelas tu, terima kasih ya anak muda.. 

Dalam kelas bacaan Al Quran....

Lalu melangkah lah kaki Pak cik Yusuf menuntut ilmu Al Quran di kelas yang diceritakan oleh saudara yus tempoh hari. Di situ beliau bertemu dengan seorang guru yang mahir dalam bacaan Al Quran dan peribadinya amat peramah serta mesra dengan masyarakat di situ.. beliau bernama Ustaz Jamal.

Dan apabila bermulanya pengajian di situ, maka Pak cik Yusuf diminta untuk membacakan Surah Ad dhuha, lalu beliau membaca dengan penuh semangat...

Ustaz Jamal : Alhamdulillah, baik juga bacaan haji , tapi ada juga kesalahan-kesalahan yang perlu dibetulkan, jadi haji kena selalu datang ke kelas ini dan terus belajar, Insha Allah, saya akan berkongsi ilmu Al Quran ini dengan haji...

Pak cik Yusuf : Insha Allah Ustaz , kita yang berumur ini susah juga untuk belajar baca al quran, “enjin slow” orang kata .

Ustaz Jamal : tidak mengapa , jangan jadikan umur yang tua ni sebagai alasan untuk kita tidak mempelajari Al Quran, dan Alhamdulillah Allah telah memberi minat kepada haji dan Allah telah memberi keringanan pada haji untuk terus belajar. Banyakkan bersyukur dengan berdoa kepada Allah ya. Dan satu perkara lagi, saya mencadangkan haji kena ada satu mushaf Al Quran yang berwarna iaitu yang ada menerangkan hukum tajwid di dalamnya, bagi memudahkan haji untuk belajar. Ada tidak Al Quran ini di rumah haji?

Pak yusuf : Di rumah, cuma ada Al Quran yang biasa , yang jenis berwarna ni memang tak ada lagi.

Ustaz Jamal : kalau begitu , boleh belikan satu Al Quran yang berwarna. boleh kan? beginilah, Pak cik ada “Handphone”?

Pak Cik Yusuf : Ada , tapi tertinggal di rumah .

Ustaz Jamal : kalau “handphone” yang beratus-ratus itu pun, haji boleh beli , takkan lah sebuah mushaf Al Quran yang suci, yang menjadi panduan kehidupan bagi manusia ini, menjadi kesukaran untuk kita beli , bagaimana kalau nanti malaikat bertanya pada kita, apakah jawapan kita? Saya cadangkan haji minta anak-anak haji belikan sebuah Al Quran, biar anak-anak itu berkongsi duit untuk belikan sebuah Al Quran, khas untuk haji, boleh?

Pak cik Yusuf : (dalam keadaan yang sedih) Insha Allah, betul tu...  kalau begitu, saya akan beli mushaf Al Quran berwarna selepas ini......


Termenung beliau di luar halaman rumah, memikirkan tentang cadangan Ustaz Jamal untuk membeli Al Quran, sedangkan beliau tidak tahu hendak beli di mana mushaf Al Quran berwarna itu..

Dalam termenungnya itu, Tiba-tiba menyapa seorang anak bongsunya yang kecik itu dan bertanya “ kenapa termenung tu ayah? Ada masalah ke ? kalau ada, boleh saya tolong.. tak baik tau, rahsia-rahsia ni..

Tersenyum ayahnya melihat gelagat anaknya lalu berkata “ Sebenarnya ayah teringin nak sebuah Al Quran berwarna supaya mudah membaca bagi orang tua dan orang yang baru belajar seperti ayah ini. Tapi ayah tidak tahu nak beli di mana. Lalu anak bongsunya berkata “oh, tidak mengapa ayah, esok pagi juga kita akan pergi beli mushaf Al Quran berwarna itu. saya akan bawa ke kedai buku".


Lalu pada keesokan paginya, pergilah ayah dan anak bongsunya itu ke kedai buku untuk membeli sebuah Mushaf Al Quran berwarna itu. Apabila tibanya mereka di sana, lalu ayahnya pun terus mencari ..

Pak Yusuf : Masya Allah, banyaknya Al Quran di sini, bermacam-macam jenis ada, (dalam mencari itu).. eh inilah yang abah cari tu, dah jumpa pun, abah!! saya dah jumpa Al Quran tu, (gembira tidak terkata melihat muka pak cik yusuf apabila Al Quran yang dingininya berada di hadapannya).

Anak bongsu : oh yang ini ke, ayah? Memang cantik!, Biar saya yang belikan (lalu dia mengambil Al Quran itu dan terus membayar kepada Juruwang yang berada situ.

Juruwang : Alhamdulillah! hari ini adik sangat beruntung, kerana hari ini kami ada mengadakan promosi iaitu membeli satu mushaf Al Quran berwarna , akan mendapat satu buku tajwid... semperna kempen membaca Al Quran.

Anak bongsu : oh macam tu ke? Terima kasih ya , (lalu ia mengalihkan padangan ke arah abahnya, lalu ia berkata di dalam hati) "Masya Allah, luas rezeki abahku ini". 

Lalu Al Quran itupun dihadiahkan kepada abahnya.

Semenjak itu Pak cik Yusuf mengaji bersungguh-sungguh dengan menggunakan Al Quran berwarna itu dan buku tajwid, dan lama-kelamaan Pak cik Yusuf semakin mahir membaca Al Quran dan kini apabila beliau berada di rumah, beliau sering membaca Al Quran bersama anak-anaknya.

Indahnya pengorbanan seorang pak cik yang ingin belajar membaca Al Quran walaupun umurnya telah meningkat dan akhirnya berjaya diatas dorongan Ustaz Jamal dan pengorbanan anak beliau untuk menghadiahkan sebuah Al-quran.

Lalu anak bongsunya bertanya, Apakah yang membuat abah begitu berminat untuk belajar Al Quran ini?

Ayahnya berkata, “Al Quran inilah peneman ayah ketika senang dan duka, apabila ayah mengalunkan bacaan Al Quran ini, hati ayah akan menjadi tenang, begini lah, kalaulah kita sanggup menghabiskan masa untuk membaca facebook,what app, buku-buku dan surat khabar, sedangkan itu adalah kalam makhluk, tetapi ini kalam Allah iaitu Al Quran, kita abaikan... amat malangnya kita sebagai hamba Allah tapi tidak pandai membaca Al Quran... “Dengarlah wahai anakku, umur dan tidak pandai membaca bukanlah penghalang untuk kita menuntut ilmu Al Quran”.

“Selagi nyawa Masih ada, teruskan lah kita membaca Al Quran, Jangan sehingga nyawa kita diambil oleh Allah, barulah Al Quran itu dibacakan kepada kita”

“Sesungguhnya Al-Quran peneman kita dikala sedih, gembira di dunia dan cahaya di alam kubur kelak”

Saidatina Aisyah r.a  melaporkan, Rasulullah s.a.w mengatakan, “Orang yang mahir membaca Al Quran akan bersama-sama dengan golongan manusia yang mulia dan baik. Manakala orang yang membaca Al Quran, tetapi dia merangkak-rangkak (ketika membaca dan dia berasa sukar membacanya), maka dia memperolehi dua ganjaran.” (Direkodkan oleh Imam Bukhari dan Abu Al-Husain Muslim bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi dalam kedua-dua kitab Shahih mereka.)

0 comments:

Post a Comment